Mengapa Belajar di Eropah?

Universiti di Eropah sudah terkenal dengan standard akademiknya yang tinggi disokong oleh penyelidikan mereka yang serba canggih serta nilai wang yang tinggi. Tiga puluh satu daripada 100 buah universiti teratas dunia terletak di Eropah, seperti yang disenaraikan oleh The Time dalam Penarafan Universiti Dunia 2012, menjadikan benua ini himpunan universiti kedua terbesar selepas AS.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 4,000 buah Institusi Pendidikan Tinggi di Eropah yang menawarkan serangkaian luas kursus peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran. Dengan semakin banyak institusi ini memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara untuk sekurang-kurangnya beberapa program ijazah mereka, universiti di Eropah kini berada dalam kedudukan yang lebih sesuai untuk mengalu-alukan kedatangan pelajar antarabangsa dan menyediakan kursus kajian yang memenuhi keperluan kerjaya mereka dalam pasaran global masa kini. Perkara ini ketara dilihat pada peringkat ijazah: bilangan ijazah Sarjana aliran Bahasa Inggeris di tanah besar Eropah telah meningkat begitu pesat sekali daripada hanya 1,000 pada tahun 2007 kepada lebih 5,000 sekarang. Kursus ijazah yang diajar dalam Bahasa Inggeris terdapat dalam pelbagai jurusan daripada Perniagaan dan Ekonomi (kursus yang paling popular ketika ini, mewakili 28% Ijazah Sarjana aliran Inggeris di Eropah) sehingga jurusan Kejuruteraan, Sains Hayat (termasuk perubatan), Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Pengisytiharan Bologna 1999 telah membawa kepada sistem pendidikan yang lebih tinggi di seluruh Eropah dan menyelaraskan sistem 3 kitaran Pendidikan Tinggi seperti berikut:

  • Ijazah Sarjana Muda (3-4 tahun)
  • Ijazah Sarjana (1-2 tahun)
  • Ijazah Kedoktoran (3 tahun)

Sebagai sebahagian proses ini, Sistem Pemindahan Kredit Eropah (ECTS) telah diperkenalkan dan membenarkan pelajar yang belajar di Institusi Pendidikan Tinggi Eropah untuk berpindah ke universiti lain di dalam Eropah atau menyambung pengajian lagi dan memindahkan kredit mereka dengan mudah. ECTS membantu pelajar memindahkan kredit di antara universiti semasa satu pusingan kursus (biasanya hanya pada peringkat ijazah sarjana muda) atau untuk memindahkan kredit sebaik selesai satu pusingan kursus ke universiti lain untuk melanjutkan pengajian (misalnya, untuk beralih dari satu universiti selepas tamat ijazah Sarjana Muda ke universiti lain untuk menyambung program Ijazah).

Universiti di Eropah telah sekian lama mengalu-alukan pelajar dari negara lain. Eropah menawarkan pengalaman belajar di luar negara yang tiada tandingannya melalui kombinasi cara hidup moden dan berkualiti tinggi yang unik, ditambah dengan warisan negaranya yang penuh bersejarah.